Thursday, December 24, 2009

Spiritual Experience: Pedoman buat bakal suami isteri

Coretan kali ini agak berbeza dengan yang sebelum-sebelumnya. Ianya datang secara
tiba-tiba tanpa diduga dan saya terasa untuk terus mencoretnya tanpa bertangguh-
tangguh lagi. Ianya amat berbeza dan bermakna bagi saya dan takut kalau
bertangguh ianya akan hilang dan berlalu begitu sahaja. Mudah-mudahan coretan ini
menjadi teladan untuk saya dan juga sesiapa saja yang sudi melayari laman ini.

Ianya berlaku diawal pagi, saya masih belum bangun sepenuhnya, mungkin separuh
sedar. Tapi nikmat tidur itu masih terasa, menenangkan minda dan seluruh tubuh.
Waktu itulah entah macammana dalam keadaan separuh sedar itu kelopak mata saya
terbuka sedikit. Waktu itulah saya terpandang kelibat isteri yang masih lagi
nyenyak tidur berbaring mengereng membelakangkan saya. Saya tutup mata saya
kembali untuk sambung tidur. Waktu itulah terlintas diminda dan terkesan dihati
satu macam rasa yang menenangkan rohani "spiritual". Pandangan sekejap itu amat
berbeza dan saya tidak menyedarinya sebelum ini. Mungkin ianya sudah lama begitu,
namun baru kali ini Allah ArRahman menunjukkannya pada saya. Subhanallah.

Sentuhan hati dan rohani yang saya alami setelah memandang isteri saya rupanya
telah melewati perasaan fizikal. Saya tidak melihat hanya kecantikan fizikalnya
yang mungkin dalam keadaan biasa berpunca dari nafsu manusiawi saya. Maha suci
Allah, saya rupa-rupanya telah tidak memandang isteri saya secara fizikalnya.
Waktu itu dengan memandangnya walaupun tanpa melihat wajah, satu perasaan yang
amat tenang yang sukar digambarkan dengan perkataan terus meresap ke dalam hati
nurani. Inilah kurniaan Allah yang saya tidak sedari sebelum ini. Hubungan saya
dan isteri saya telah melewati batas fizikal. Ianya melewati batas kasih sayang
pasangan kekasih. Saya tidak panggil isteri saya dengan sayang, honey, darling
dan sebagainya selama ini. Kadang-kadang saya pelik kenapa saya tidak seperti org
lain. Sekarang saya sedari (dengan kehendakNya jua) panggilan sayang, kasih dan
sebagainya itu hanya benda fizikal, tidak terbanding dengan "hubungan spiritual"
yang telah terjalin antara kami.

Mungkin gambaran terdekat yang boleh saya katakan ialah saya rasakan dia adalah
sebahagian dari saya. Sebagaimana kita merasakan hubungan seluruh batang tubuh
dan perasaan rohani kita, begitulah yang saya rasakan isteri saya sebahagian dari
spiritual diri saya. Tidak hairanlah kadang-kadang kita lihat pasangan tua yang
secara fizikalnya kelihatan selalu berbalah cakap, tetapi terus kekal hingga
akhir hayat. Malah waktu kehilangan itu kita lihat kesedihannya tidak sebanding
dengan hubungan fizikal yang kita lihat seolah-olah tidak serasi. Hubungan mereka
telah melewati tahap fizikal dan kasih sayang mereka telah melewati perasaan
pasangan kekasih.

Bukan itu saja yang saya alami pagi tadi. Dalam keadaan bawah sedar itu, saya
diantara tidur dan jaga, dengan perasaan yang saya alami setelah kejadian
pandangan fizikal tersebut. Tiba-tiba isteri saya berpaling dan kemudian terus
mencium pipi saya. Adakah perasaaan spiritual yang saya alami itu benar-benar
berhubung dengan isteri saya yang secara langsung mendorong dia membalas secara
fizikal dengan perbuatannya ? Wallahualam. Yang saya tahu isteri saya juga masih
tidur waktu itu. Satu lagi saya sedari, sentuhan suami isteri rupa-rupanya adalah
melewati batas nafsu. Dengan memegang tangan isteri saya terasa amat tenang
rohani yang dirasakan menenangkan seluruh tubuh. Ini menyihatkan bukan saja
secara fizikal malah juga spiritual. Itulah sebabnya Allah mensyariatkan kita
bernikah, kerana setelah diijab qabulkan, dan dengan kehendakNya jua, hubungan
kita melewati batas nafsu fizikal.

Saya amat bersyukur dengan kurniaanNya selama ini dan hari ini saya telah
ditunjukkan dengan satu lagi pengalaman rohani yang mungkin bukan semua orang
pernah alami. Subhanallah. Moga-moga pengalaman saya ini boleh menjadi pedoman
kepada bakal-bakal pengantin juga pasangan suami isteri lain. Cuma satu pesanan
saya, terutama kepada yang berniat mendirikan rumahtangga. Pastikan permulaan dan
perjalanannya menurut syariat. InsyaAllah yang Maha Rahman dan Maha Rohim akan
mengurniakan kita dengan sesuatu yang tidak kita duga. InsyaAllah.

Wednesday, December 9, 2009

Ragam dalam jem

3 hari outstation. Kena ulang-alik dari SWG ke SA. Kena tempuh jem 3 hari
berturut-turut dekat Fed Highway. Dalam pada terperuk dalam jem... dapat lihat
berbagai ragam manusia...

Masa berada dilane tengah.. terpandang di sebelah kiri sebuah lori 1 tan. Pemandu
dan kelindan tengah asyik memandang keluar ke sebelah kanan.. sambil lori
berjalan perlahan-lahan ikut arus trafik. Terror depa ni.. dah biasa buat kut.
Tak terlanggar kereta depan. Tapi yg musykil.. apa yang dipandang ? Laa.. ada
kancil di sebelah rupanya.. dan pemandunya... amoi.. cantik.. patutlah.. dua-dua
tak lepas-lepas mata memandang... menikmati keindahan.. jangan accident dahlah
bang oii...


Kereta dapat berjalan lagi.. sedikit demi sedikit. Lori tadi dah hilang. Begitu
juga kancil dengan amoi cantik tadi. Kalau nak diikutkan duduk dalam jem ni
memang meresahkan. Nasib baik.. ragam-ragam manusia ni... menghiburkan..
Di sebelah kiri, muncul MyVi. Ada perempuan Tionghua memandu. Dia terus tunduk
memandang ke bawah sambil kereta berjalan perlahan-lahan. Kebetulan MPV saya agak
tinggi. Jadi dapat lihat apa yang dibuat dalam MyVi tu. Memang terror orang KL
ni.. Dia sedang membaca sehelai kertas yang diletak dibahagian bawah steering.
Dah selalu sangat dalam jem agaknya.. sampai membaca sambil kawal gerak kereta ke
depan perlahan-lahan..terror orang Malaysia ni. Malaysia boleh !

Jalan lagi sikit... hilang kisah perempuan Tioghua tadi. Muncul kereta lain di
sebelah kanan.. penuh isi penumpang depan belakang. Yang peliknya.. kereta
berenjut-enjut agak kuat. Apahal ? Kelihatan pemandu perempuan India tengah
sibuk dengan panel dashboard ubah-ubah siaran/volume kut. Tapi bukan tu yang
menyebabkan enjutan tu.. Penumpang sebelah kanan.. budak remaja.. pakai headphone
terhenjut-henjut. Hmm... generasi baru dengan MP3/MP4nya.. generasi lama dok
dengar siaran radio... Dua dunia berbeza, dalam satu kereta..

Last sekali... yang ni pemerhatian yang sedih sikit... jem waktu awal pagi...
kebetulan terhenti di tepi laluan bertingkat. Terpandang seorang hamba Allah
berbaring di bawah jejambat. Ada hamparan untuk tidur dan bungkusan di
sebelahnya. Tak lama dia bangkit.. berbaju t-shirt & kain pelikat.. duduk
termenung sebentar. Kemudian terus bangun.. berjalan ke satu arah... untuk basuh
muka dan berkumur.. Bila diteliti tempat tersebut... inilah kut "rumah" hamba
Allah tersebut.. sayu .. dan tercuit hati.. apalah sebenarnya nasib hamba Allah
ini hingga jadi begitu... Ya Allah moga-moga nasibnya lebih baik selepas ini..
itu yang sempat terdetik dihati sebelum kereta mula bergerak meninggalkan jauh..
dan entah bila boleh terjumpa lagi...